Monday, 21 February 2011

MELABUR KE INDUSTRI SARANG BURUNG WALET


PROGRAM Transformasi Ekonomi (ETP) yang melibatkan aktiviti pertanian dijangka mampu mencipta 75,000 peluang pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang. 
 
Baca seterusnya......
 
4 NKRA PENDIDIKAN LEPASI SASARAN


PUTRAJAYA 20 Feb. – Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya meningkatkan taraf pendidikan dan prestasi pencapaian pelajar-pelajar sekolah kebangsaan tahun lalu dan dijangka bertambah baik tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, ia dibuktikan melalui pencapaian cemerlang empat NKRA yang melepasi sasaran asal iaitu prestasi prasekolah, literasi dan numerasi serta Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) termasuk Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP).

Katanya, aspirasi NKRA Pendidikan memberi penekanan kepada meningkatkan pencapaian pelajar secara holistik dari segi intelektual, emosi, rohani dan jasmani.

‘‘Peningkatan pencapaian pelajar pada semua peringkat pendidikan amat penting untuk membangunkan modal insan yang cemerlang bagi menghasilkan tenaga kerja mahir supaya Malaysia menjadi negarar berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,’’ katanya.

Selain itu, aspirasi NKRA Pendidikan juga adalah untuk memastikan pendidikan berkualiti dan berkemampuan dapat dikecapi oleh semua pihak bagi menambahbaik dan meningkatkan taraf penduduk Malaysia secara menyeluruh.

Baca seterusnya......
BAIK, BURUK MINYAK MASAK

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

JIKA ingin mengamalkan gaya hidup sihat, jenama atau jenis minyak yang digunakan bukan persoalan, tetapi berapa banyak kuantiti yang digunakan.

BEBERAPA teman di laman sosial Facebook mengeluh mengenai kesukaran mendapatkan minyak masak di pasaran sejak akhir-akhir ini.

Ada yang menyoal sinis: “Pokok kelapa sawit banyak, mana minyaknya?” Ironinya, sama seperti gula, negara kita merupakan antara pengeluar utama minyak sawit dunia tetapi kekurangan bahan tersebut di pasaran tetap berlaku.

Kesihatan tidak mahu mengulas mengenai fenomena tersebut atau mencari apa puncanya, cuma sekadar ingin mencungkil rahsia di sebalik bahan asas masakan rakyat Malaysia itu.

Tanpa disangkal, kita menggunakan minyak masak setiap hari dalam kebanyakan jenis masakan. Goreng, kari, kurma, sup, asam pedas, masak kicap, sebut sahaja apa jenisnya, bahan asasnya adalah minyak. Itu belum dikira lagi kuih muih seperti karipap, donat, pisang goreng dan bermacam lagi yang menggunakan minyak yang banyak ketika dimasak.

Persoalan utama, benarkah minyak masak hanya mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan?

Pakar Nutrisi dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) Shah Alam, Chew Lih Theng berkata, seperti bahan lain minyak masak juga mempunyai kebaikan dan boleh mengundang keburukan andai diambil dalam kuantiti berlebihan.

Kebaikan minyak masak menurut beliau mengandungi lemak yang menjadi sumber utama tenaga yang paling mudah diperolehi. Selain itu katanya, ia juga mengandungi komponen yang membantu penyerapan vitamin seperti AHA, DHA dan vitamin penting lain untuk fungsi otak dan sel membran.

Namun seperti juga bahan lain, jika diambil dalam kuantiti yang berlebihan ia menyumbang kepada masalah penyakit berkaitan obesiti dan jantung.

Baca seterusnya........
ESTROGEN PUNCA LELAKI GEMUK


SAYA tidak menyangka bertemu dengan sahabat lama, Zack. Semasa sama menuntut di universiti dia merupakan seorang pemuda yang kacak dan diminati ramai. Saya terkejut melihat penampilan Zack yang sungguh merosot. Tubuhnya gemuk, berlemak dan perutnya buncit. Wajah Zack juga kelihatan bengkak dan bawah mata terdapat banyak lemak yang menjadikan dia tampak lebih berusia.

Meskipun begitu Zack tatap seorang lelaki budiman dan berhemah tinggi. Menurut Zack dia mengidap masalah kencing manis dan tahap kolesterolnya meningkat. Isteri Zack sempat berbisik kepada saya bahawa suaminya sangat emosional dan tertekan dengan keadaan dirinya sekarang. Pelbagai amalan diet dan senaman telah dilakukan namun tidak berkesan. Dia ingin tahu jika ada kaedah anti penuaan boleh membantu memulihkan keadaan suaminya.

Pada usia yang baru mencapai 42 tahun Zack sepatutnya terus sihat menikmati kehidupan yang penuh warna-warni. Sebaliknya dia kelihatan keletihan dan tidak bermaya. Saya simpati kepadanya.

Beberapa dekad yang lalu jangka hayat seseorang manusia hanyalah setakat 45 tahun sahaja. Pada tahun 1950-an, 45 merupakan usia emas. Mereka yang mencecah 45 tahun dianggap terlalu tua. Oleh itu pada usia 50-an mereka disuruh bersara dan dianggap tidak lagi produktif.

Kemajuan kesihatan yang pesat membolehkan jangka hayat meningkat ke usia 6o-an. Pada tahun 1980-an dan terkini jangka hayat seseorang dijangka meningkat sehingga 90 tahun pula.

Jelaslah kepada kita kemajuan sains perubatan bukan sahaja membawa peningkatan dalam kualiti kesihatan malah ia turut meningkatkan jangka hayat. Maka usia 40-an bukanlah dianggap sebagai usia emas lagi. Sebaliknya usia 40-an dianggap paling stabil bagi seseorang kerana pada usia sebegini beliau sudah matang dalam mengendalikan kehidupan dan mencapai tahap memberangsangkan dalam kerjaya.

Malangnya apabila usia mencecah angkat 40 kita dihadapkan dengan pelbagai masalah kesihatan yang lain. Syarikat-syarikat insurans mula menawarkan pelbagai skim perlindungan dan kos penjagaan kesihatan turut meningkat.  Mengapakah pada usia yang sebegini kita mula didatangi gejala pelbagai penyakit.

Masalah jantung, paru-paru, kolesterol, penyakit hati, kencing manis dan lain-lain lagi akan turut menyerang. Begitu juga kanser dan masalah prostatik bagi lelaki selain masalah dementia (hilang ingatan atau nyanyuk) dan atherosklerosis (penebalan arteri). Kualiti kehidupan turut merosot dengan tubuh badan mengecut dan lemah serta tulang yang rapuh. Apabila lemak berkumpul di sana-sini dan perut menjadi buncit maka pasti mengundang rasa kecewa kepada lelaki.

Banyak kajian telah membuktikan bahawa prinsip mengurang berat badan dan mengawal daripada berlakunya pertambahan berat badan bukannya hanya dengan berdiet semata-mata. Ia perlu mengikut kaedah saintifik dan bukanlah secara paksaan sehingga mendera tubuh badan anda.

Anda perlu menyayangi diri dan mendengar bisikan hati nurani anda. Jika anda memberi tubuh anda apa yang ia perlukan ia akan selesa dan anda akan berasa gembira melalui hari hari berdiet dengan penuh semangat dan dedikasi. Sebaliknya jika anda cuba memaksanya menjadi kurus, anda akan dibelenggu perasaan kecewa dan keletihan semata-mata.

Untuk membakar lemak tubuh memerlukan bahan api iaitu hormon memecah lemak yang cukup. Tubuh juga perlu mengurangkan penyimpanan lemak. Hormon yang bertanggungjawab bagi penyimpanan lemak adalah hormon estrogen.

Apabila usia meningkat makan paras hormon turut merosot. Hormon yang penting bagi lelaki ialah testosteron, DHEA dan juga hormon GH (growth hormone). Selain itu hormon tiroid (T3 dan T4) juga penting kerana ia membolehkan aktiviti metabolisme menjadi lancar. Tanpanya seseorang akan menjadi gemuk dan sukar kurus meskipun mengamalkan diet yang ketat.

Estrogen merupakan hormon yang banyak dihasilkan oleh lemak kita. Tidak kira lelaki atau wanita semuanya mempunyai hormon estrogen di dalam tubuh bagi aktiviti tubuh kita. Sedikit hormon estrogen adalah penting tetapi apabila sel lemak meningkat ia turut menghasilkan hormon yang tidak berkualiti (bad estrogen). Hormon jenis ini hanya akan bersifat mengumpul lemak sahaja. Ini bermakna lemak yang sedia ada akan memanggil lemak-lemak baru dan akhirnya kuantiti lemak menjadi banyak. Justeru hormon estrogen terdapat dengan banyak dalam tubuh kita. Kekurangan hormon lain membuatkan estrogen semakin banyak sehingga kita menjadi sukar untuk kurus semula.

Pengambilan anti-estrogen adalah penting bagi memastikan lemak dapat dilepaskan. Setelah anti estrogen diberi barulah seorang lelaki dapat memecahkan lemak dengan efektif. Setiap senaman yang dilakukan akan berkesan dan perut mula menjadi kempis. Lelaki juga akan merasakan tenaganya meningkat, stamina bagi aktiviti berat menjadi lebih baik. Begitu juga keperluan seks mereka akan lebih terpenuh disebabkan kestabilan dalam emosi dan tenaga seksual yang bertambah. Apabila lemak berkurang maka pengeluaran estrogen juga akan berkurangan daripada lemak-lemak itu. Pengurangan dalam kuantiti estrogen memberi kesan yang baik kepada lelaki kerana ia membolehkan hormon lelaki iaitu testosteron berfungsi. Kehadiran hormon estrogen yang banyak merosakkan hormon testosteron

Baca seterusnya......

Wednesday, 16 February 2011

Sekitar Sambutan Maulidur Rasul Di Kota Kemuning

Sambutan Maulidur Rasul di Kota Kemuning telah diadakan di Tapak Masjid Kota Kemuning pada 15 Februari 2011. Peserta perarakan tiba seawal jam 7.00 pagi lagi. Perarakan yang dijadualkan pada jam 7.30 pagi telah ditunda ke pukul 8.15 pagi. Peserta begitu bersemangat dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Perarakan berakhir pada jam 9.00 pagi.












Tuesday, 8 February 2011

Wanita beri 10 bintang kecekapan kerajaan Malaysia

IPOH 7 Feb. - "Jika diminta memberi markah, saya beri 10 bintang kepada kerajaan Malaysia. Mereka memang cekap dan pantas sehingga membolehkan anak saya selamat sampai ke Malaysia hari ini." Itu kata-kata pujian Kasmah Abd. Hamid, 54, ibu kepada salah seorang rakyat negeri ini yang belajar di salah sebuah universiti di negara yang sedang bergolak, Mesir.

"Saya puji usaha kerajaan Malaysia atas susah payah mereka menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di sana serta kesanggupan mereka membawa pelajar pulang dengan selamat.

"Saya percaya semua yang berada di sana pasti bertungkus-lumus sehingga ada yang tidak tidur bagi menguruskan keperluan semua pelajar yang berada di sana,'' katanya.

Beliau ditemui sejurus ketibaan lapan pelajar dari Mesir yang dibawa pihak kerajaan negeri dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke sini.

Ketibaan kesemua pelajar itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohamad Zahir Abdul Khalid di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Seramai 60 anak negeri ini tiba dengan penerbangan AirAsia dan dianggarkan keseluruhan 150 pelajar lagi akan tiba menerusi penerbangan yang diadakan secara berperingkat hari ini.

Kasmah yang merupakan ibu kepada Muhammad Ammar Jusof Khadidi, 24, penuntut Universiti Al-Azhar jurusan al-Quran dan Qiraat meminta mana-mana pihak supaya berhenti mempertikaikan usaha kerajaan.

Katanya, apa yang dilakukan oleh kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pengorbanan yang tidak mampu dinilai harganya.

"Tidak mampu untuk saya membayar budi kesemua yang terlibat dalam usaha menyelamatkan pelajar di sana. Ucapan terima kasih yang mampu saya berikan,'' katanya.

Sementara itu, menurut seorang pelajar, Muhammed Anas Ridzuan, 22, dia tidak menjangka dapat pulang cepat ke Malaysia.

Katanya, menerusi tiket yang diterima sepatutnya mereka akan dibawa ke Jeddah terlebih dahulu sebelum pulang ke Malaysia.

"Saya tak sangka secepat ini dibawa pulang, sepatutnya kami singgah di Jeddah terlebih dahulu dan agak memeranjatkan apabila diberitahu kami terus ke Malaysia dan hanya singgah sebentar di Jeddah.

"Apa pun saya bersyukur kerana dapat pulang dengan selamat dan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membantu kami sepanjang di sana,'' katanya yang merupakan pelajar jurusan Usuluddin tahun kedua di Universiti Al-Azhar cawangan Zagazig.

Sementara itu, Muhammad Hanif Abdullah, 21, memberitahu, tiada sebarang insiden buruk berlaku kepada dia dan rakan-rakannya sepanjang pergolakan di Mesir.

Katanya, cerita mengenai pelajar dikasari dipercayai berpunca daripada keengganan mereka mematuhi perintah berkurung yang ditetapkan oleh kerajaan Mesir.

"Tiada kejadian buruk yang berlaku. Kami masih bebas keluar tetapi perlu mengikut arahan perintah berkurung yang ditetapkan.

"Lagi pun mereka tidak mengganggu orang luar kerana mereka tahu yang kita tidak terlibat dengan rusuhan di sana,'' katanya yang berasal dari Malim Nawar, Kampar. Baca Lagi......
Cuti Gong Xi Fa Chai

Dah menjadi lumrah jika ada perayaan, maka banyaklah acara yang perlu dibuat.  Ada yang makan angin, ada yang balik kampung berjumpa dengan ibubapa, ada yang berkahwin, ada juga yang kena bertugas 24 jam dan bermacam-macam lagi.  Dengan melalui kesesakan jalan yang amat teruk di Karak Highway, percutian kali ini amat meletihkan.  Bagi saya sekeluarga walaupun penat kesempatan ini kami kami ambil untuk berkumpul bersama-sama ibu dan adik beradik dan buat makan-makan di rumah adik di Kuantan.











Wednesday, 2 February 2011

Cari jalan ‘tutup mulut’ Nik Aziz
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED


KUALA LUMPUR 1 Feb. – Pas harus mencari jalan untuk ‘menutup mulut’ Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kali mengeluarkan fatwa politik kerana ia mampu merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz juga sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu.

‘‘Pas hendaklah mencari jalan menutup mulut beliau (Nik Abdul Aziz) yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

‘‘Lagipun, pendapat beliau bukan pendapat Dewan Ulama Pas, jauh sekali pendapat daripada badan induk Pas,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Nik Aziz yang sejak kebelakangan ini sering kali mengundang kontroversi.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang beberapa hari yang lalu.

Pendapat beliau berhubung serangan Lee Kuan Yew terhadap Islam juga dilihat seakan-akan mempertahankan serta merelakan perbuatan Menteri Mentor Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, fatwa Nik Aziz berkaitan politik juga sering berubah-ubah dan tidak berlandaskan nas serta ijmak ulama.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mursyidul Am Pas itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita pembangkang tercapai dan dendam mereka terbalas walaupun agama dijadikan galang gantinya.

‘‘Apa saja yang menguntungkan politik Pas akan dibiarkan berlaku walaupun ia diketahui akan menjejaskan kedudukan agama Islam,’’ ujar beliau.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh pula berpendapat, Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau.

‘‘Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti ‘fatwa’ yang dikeluarkan Pas?

‘‘Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disifatkan sebagai pelacur politik, saya ingin bertanya, apakah Nik Aziz ini pelacur agama kerana sikap beliau yang memperdagangkan agama demi memuaskan nafsu untuk berkuasa.

‘‘Anwar dan Nik Aziz ialah gambaran manusia ‘putar alam’ yang sanggup menjadi pak turut kepada DAP. Nik Aziz sendiri telah memperdagangkan Islam demi kepentingan politik DAP,’’ tambahnya. Berita seterusnya.......
Tindakan Nik Aziz lebih teruk - Dr. M
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih mengutamakan peluang untuk memburukkan musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam oleh Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan Nik Aziz itu yang dilihat seperti merelakan perbuatan Kuan Yew sebenarnya lebih teruk daripada sikap pemimpin Islam nasionalis di Malaysia.
"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk daripada Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Kuan Yew dengan menganggap cadangan supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk berbanding apa yang dilakukan Islam nasionalis Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian di dalam entri terbarunya 'Nik Aziz dan Kuan Yew' melalui blog http://chedet.co.cc hari ini.
Dr. Mahathir berkata, jika rakan bukan Islam Nik Aziz iaitu Pengerusi DAP, Karpal Singh; Penasihat parti itu, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng menuntut supaya amalan dan ajaran Islam di negara ini dilonggarkan, Nik Aziz berkemungkinan bersetuju dengan cadangan itu memandangkan beliau berpandangan bahawa Islam nasionalis lebih teruk daripada Kuan Yew.
Beliau berkata, banyak perkara yang dilakukan oleh pemimpin Islam nasionalis di negara ini telah memberi manfaat kepada orang Islam.
"Sebaliknya, apakah yang dilakukan oleh Pas dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar adalah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan Pas itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam," katanya.
Menurut Dr. Mahathir lagi, sebagai contoh, Pas memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia apabila ia mengadakan sembahyang Jumaat dua imam, larangan terhadap perkahwinan orang Pas dengan orang UMNO dan mengeluarkan larangan ahli Pas menghadiri kenduri orang UMNO.
Beliau berkata, parti itu juga melaksanakan pengasingan kubur orang Pas daripada orang UMNO, seolah-olah di akhirat juga, Pas inginkan perpecahan di kalangan orang Melayu Islam terus berlaku.
Selain itu katanya, tindakan Pas yang mendakwa UMNO menjadi kafir apabila bekerjasama dengan orang bukan Islam juga menyebabkan orang Melayu bertambah berpecah.
Dr. Mahathir menegaskan, walaupun Pas beranggapan sedemikian tetapi parti itu sendiri mengadakan kerjasama dengan DAP bagi menubuhkan pakatan pembangkang.
"Dengan ini, Nik Aziz telah menentukan kali ini bahawa perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.
"Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Satu daripada ajaran Islam yang penting iaitu orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz," tegasnya. Berita selanjutnya..........